"perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbukkan 7 tangkai, pada setiap tangkai ada 100 biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui. Al Quran 2:261

Monday, December 31, 2007

JIM dan KARISMA Membersih Kg Sawah

Syukur alhamdulillah, pada 29 Disember 2007 lalu, JIM Pahang dengan kerjasama Karisma UIA Kuantan telah bergotong royong beramai ramai membantu penduduk Kampung Sawah yang terjejas teruk selepas banjir. Rombongan 9 buah kenderaan bertolak dari UIA jam 9 pagi dan tiba di Kampung Sawah pada jam 9.50 pagi. Sepanjang perjalanan ke Kampung Sawah, semua sukarelawan dihidangkan dengan pemandangan kesan kesan banjir yang jelas kelihatan. Ada rumah yang berubah warnanya kerana lumpur, ada kenderaan berat yang tersadai di tepi jalanraya, dan juga tidak ketinggalan pemandangan perabot perabot yang dijemur diluar rumah. Kesan tersebut semakin jelas dan dirasai apabila kami tiba di Surau Kg Sawah. Keadaannya yang berlumpur begitu menginsafkan sesiapa sahaja yang melihatnya..

Jam 10.10 pagi, Setiausaha DERU JIM Pahang, Saudara Mohd Sufian Mat Ali memberi taklimat kepada 43 perempuan dan 10 lelaki sukarelawan dan diikuti oleh sesi penerangan ringkas oleh Ketua Kampung Sawah. terdapat 26 buah rumah yang terlibat dengan banjir di Kg Sawah, sukarelawan dibahagikan kepada kumpulan. Setiap Kumpulan ada 2-3 ahli. Tugas mereka adalah membantu apa sahaja yang boleh dibantu di setiap rumah yang mereka kunjungi. Semua kumpulan bergerak serentak dan pada masa kami mula bergerak, satu lagi pasukan sukarelawan dari Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang tiba seramai 20 orang. mereka hanya memfokuskan kawasan Surau dan sekitarnya.

Suasana kampung yang sunyi bertukar menjadi meriah bagaikan pesta kerana dapat dilihat pergerakan pergerakan sukarelawan dari rumah ke rumah, membantu tuan rumah membersih lantai dan dinding, membersih kediaman, mencuci pakaian, mencuci pinggan mangkuk dan membersihkan perabot perabot yang berlumpur. Suasana meriah dan keramahan sukarelawan ini sedikit sebanyak menceriakan suasana rumah kediaman penduduk yang suram dan dipenuhi kotoran berlumpur kesan dari air banjir.

Pada masa yang sama, lebih kurang 30 orang bergotong royong membersihkan surau Kg Sawah. Dengan bantuan peralatan yang canggih dan terkini serta gabungan tenaga yang ramai dan kerjasama erat yang ditunjukkan, Surau Kg Sawah dapat dibersihkan dan segala isinya dapat dibersihkan dalam masa kurang dari 2 jam.

Selepas solat Zohor berjamaah, Kami menjamu selera merasai masakan kampung yang dimasak oleh orang kampung khas untuk kami yang datang bergotong royong. Sekitar jam 3 petang, sebahagian dari sukarelawan sudah pulang dan hanya sebahagian yang tinggal untuk menyambung kerja kerja yang belum selesai di sebelah pagi.

Selepas solat Asar berjamaah, kami sekali lagi dihidangkan dengan bubur kacang hijau yang enak dan kumpulan terakhir pulang hampir jam 6 petang. Ketua Kampung dan penduduk kampung amat menghargai bantuan yang dihulurkan. Jelas, kesedihan yang dihadapi penduduk kampung yang hampir kehilangan segala harta mereka sedikit sebanyak diubati oleh kehadiran kami. Bagi siswa dan siswi yang terlibat, Ini merupakan satu pengalaman yang berharga di samping dapat bermuhasabah diri tentang kebesaran Allah S.W.T.

YDP JIM Pahang bersama Ketua Kampung Sawah.

'Peluang yang sangat berharga,dapat bantu mangsa banjir membersihkan rumah,surau. Selain dapat merapatkan jurang mahasiswa dengan masyarakat luar terutamanya warga kampung, dapat muhasabah diri tentang Kuasa Allah dalam menghilangkan nikmat dengan sekelip mata, dan dalam kajian perubatan, volunteerism baik untuk kesihatan emosi' - Amni, pelajar jurusan farmasi, UIA Kuantan.

No comments: