"perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbukkan 7 tangkai, pada setiap tangkai ada 100 biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui. Al Quran 2:261

Friday, December 21, 2007

Bot Penambang ke Pekan.

Jalan darat ke Daerah Pekan masih lagi ditutup sehingga kini. jalan alternatif yang tinggal adalah jalan air. Tinjauan JIMedia Pahang ke Kg Cherok Paloh pada petang selepas solat jumaat (21 Dis 07) mendapati permintaan untuk perkhidmatan bot penambang begitu tinggi. Ini berlaku kerana hanya itu sahaja cara yang tinggal untuk penduduk penduduk sekitar berulang antara Pekan dan Kuantan. Tinjauan petang tadi mendapati hanya 6 buah bot sahaja yang beroperasi yang kesemuanya adalah milik penduduk tempatan. Turut kelihatan pasukan BOMBA dan MARIN bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Tambang yang dikenakan kepada setiap pelanggan adalah RM 10 seorang. Walaupun tambang yang dikenakan adalah tidak berpatutan(memang mahal pun), apatah lagi dimusim banjir ini, penduduk kampung dan mereka yang ingin ke Pekan atau Kuantan tidak ada pilihan. Jelas, pengusaha bot penambang sementara ini memperoleh pendapatan yang lumayan sempena musim banjir ini. Deretan kereta jelas menunjukkan betapa ramainya pengguna perkhidmatan bot penambang ini setiap hari. sama sama lah kita berdoa agar bencana ini akan segera berakhir dan mereka yang terlibat dengan bencana ini memperoleh hikmah yang telah Allah sediakan melalui bencana ini.